AHLAN WA SAHLAN

AHLAN WA SAHLAN
http://wadahislamSMKB.blogspot,com

Tuesday, April 13, 2010

Konsep 6 Rukun Iman

APA DIA RUKUN IMAN :

Dalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Iman itu ialah mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota”. (al-Hadis) Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt, namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan.

Iman tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secocok dengan kehendak dan tuntutan iman itu sendiri.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu”. (al-Hujuraat 49:15)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya”. (al-Anfal 8:2-4) Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara:

  • Pertama: Beriman kepada Allah swt.
  • Kedua: Beriman kepada Malaikat.
  • Ketiga: Beriman kepada kitab-kitab.
  • Keempat: Beriman kepada Rasul-Rasul.
  • Kelima: Beriman kepada Hari Kiamat.
  • Keenam: Beriman kepada Qada” dan Qadar.

Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya.” (al-Baqarah 2:285) Juga sabda Nabi saw yang bermaksud: “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat, Qadar baik dan buruk”. (Riwayat Muslim)


KERAGUAN TERHADAP IMAN & RUKUN IMAN :

Keraguan tentang iman dan rukun Islam boleh berlaku melalui empat bentuk sepertimana yang diperjelaskan oleh ulama’ iaitu;

1. Jahil; iaitu seseorang yang tidak tahu tentang satu atau banyak perkara mengenai persoalan iman maka ia diistilahkan sebagai seorang yang jahil.

2. Syak; iaitu antara keyakinan dan keraguan yang boleh juga diukur melalui peratusan iaitu antara 50% yakin dan 50% keraguan.

3. Zan; iaitu yang diistilahkan sebagai kuat anggapan juga boleh dinisbahkan kepada 75% keyakinan dan 25% keraguan.

4. Waham; iaitu yang boleh dinisbahkan kepada 25% keyakinan dan 75% keraguan.

Daripada pembahagian kadar keraguan dan keyakinan seperti yang diperjelaskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa apabila persolan iman seseorang itu diselami oleh perasaan jahil, syak, zan atau waham bermakna ia belum lagi boleh dikategorikan sebagai seorang yang beriman.

Sebaliknya, seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah disertai dengan cahaya keyakinan yang seratus peratus tanpa dicelahi oleh oleh mana-mana satu daripada keempat-empat bentuk keraguan diatas barulah ianya boleh dikatakan seorang yang beriman. Oleh itu, seseorang itu akan tidak akan merasakan kelazatan iman (HALAWATUL IMAN) tanpa diresapi oleh sifat-sifat yang tertentu di dalam dirinya iaitu;

- Tidak ada sesuatu yang yang lebih dicintainya daripada Allah dan juga Rasul-Nya.

- Menyintai sesuatu hanya kerana Allah.

- Takut berbalik daripada keimanan kepada kekufuran sepertimana ia takut dimasukkan ke dalam api neraka.

Nikmat keimanan yang dirasai oleh orang yang merasai kelazatan iman akan terpancar melalui amalannya. Maka seseorang yang telah pun merasai kelazatan iman tersebut tidak akan takut untuk menuturkan atau melafazkan perkara yang benar dan juga tidak akan sama sekali berdusta walaupun ketika ia menghadapi saat-saat kesulitan. Selain daripada itu, ia juga menyakini tentang segala ketentuan itu adalah dari Allah yang tidak dapat dihindarkan oleh kita yang bersifat makhluk-Nya.

PERINGKAT-PERINGKAT IMAN :

Iman itu boleh bertambah dan berkurang. Malah iman seseorang boleh dihinggapi penyakit. Ada Iman sentiasa bertambah iaitu Iman para Nabi dan Rasul. Ada Iman yang tidak bertambah atau berkurang iaitu Iman para Malaikat. Ada Iman yang kadang-kadang bertambah dan ada ketikanya menurun iaitu Iman kebanyakan orang mukmin. Terdapat juga jenis Iman yang jarang-jarang bertambah tetapi banyak menurun iaitu Iman orang-orang yang fasik lagi jahat.

Iman terbahagi kepada lima peringkat:

  • Iman Taqlid iaitu Iman ikutan. Orang yang beriman secara taqlid beramal semata-mata mengikut orang lain. Iman jenis ini merbahaya dan terdedah kepada kesesatan.
  • Iman Ilmu iaitu Iman yang berdasarkan semata-mata kepada ilmu dan fikiran semata-mata dan ia tidak terpahat di dalam hati. Iman pada tahap ini juga terdedah kepada bahaya dan penyelewengan.
  • Iman A’yan iaitu Iman yang dapat dihayati sehingga ke lubuk hati. Iman pada tahap ini dimiliki oleh orang-orang soleh. Seseorang yang beriman pada tahap ini amalannya bertolak dari hati yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Iman kita juga sekurang-kurangnya berada pada tahap ini.
  • Iman Hak iaitu Iman yang hakiki yang terlepas dari godaan nafsu dan syaitan. Iman pada tahap ini dimiliki oleh golongan muqarrabin.
  • Iman Hakikat iaitu Iman peringkat yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Mereka yang memiliki Iman pada tahap ini hidup semata-mata untuk Allah swt.

HUBUNGAN IMAN DAN ISLAM :

Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang.

Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt. Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan Ilahi.

Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu:-

(i) Dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah)

(ii) Melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang bermaksud : “Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap kalimah “Lailahaillallah” dan yang paling rendah ialah membuang benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan”. (Riwayat Muslim) Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan.

Islam umpama pohon, sementara Iman umpama akar pepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya.

Dalam menjelaskan tentang hubungan Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis sabda Nabi saw kepada rombongan Abdul Qias yang bermaksud: “Aku menyuruh kamu beriman kepada Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu mengerti apa dia yang dikatakan beriman kepada Allah swt yang Maha Esa “. Iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan satu perlima daripada harta rampasan perang”. (Muttafaqun ‘alaih)

Hadis di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman dan Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah dan melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan. Sekiranya berlaku iqrar syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau tidak percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman Rasulullah saw.

Firman Allah swt yang bermaksud:“Orang Arab berkata: ‘Kami telah beriman.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kamu belum beriman’ (janganlah berkata demikian, sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja: ‘Kami telah Islam’”. (al-Hujuraat 49:14)

Kesimpulannya :

Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails